Pages

Sunday, April 28, 2013

Personaliti


   Ini kali pertama! Pertama kali. Merasakan hembusan angin musim bunga dari apartment tingkat paling atas, seakan jatuh cinta. Sengaja aku biarkan tingkap yang menghadap hutan oak terbuka luas, demi menyambut rahmat tuhan. Aku mahu lunjurkan kepala keluar, tapi terus aku batalkan niat itu. Aku menghidap iatrophobia  iaitu takut kepada ketinggian.

   Aku mahu terus disapa angin itu.

   Biar dibelai, diusap lembut wajah ini. Biar hilang riak tekanan.

   Aku mengheret kerusi ke tepi tingkap.  Perlahan-lahan aku melabuhkan punggung, dengan tangan memegang segelas teh panas. Aroma serbuk teh larut di dalam air yang ditiup angin membuatkan hidung aku hampir bersentuhan dengan mulut cawan, menghidu dengan nafas panjang.

   Aku membelek buku Bogel Menuju Tuhan oleh Zahiril Adzim. Menikmati  baris-baris ayat yang ditulisnya dari jendela. Air teh sudah sejuk, hilang serinya. Sambil membaca, aku mula berangan-angan dengan madah aku sendiri.

   ‘kerana tiada pilihan melainkan membuat pilihan..’

   Aku teringat perbahasan sihat bersama teman sekelas tentang isu ‘murabbi’. Lama. Topik perbincangan yang sangat lama. Penghuraiannya panjang lebar. Cuma ianya bukan sembang kedai kopi, menabur cacian hilang manfaat.

   Konsep murabbi membawa maksud seseorang individu yang mengajarkan bukan sekadar ilmu tetapi juga mendidik hati. Persoalannya, siapa yang layak untuk memikul tanggungjawab itu? Ini topik yang seronok bagi aku ketika itu.

   Aku lebih suka kepada analogi hidup dan perumpamaan. Menunjukkan sudut-sudut persamaan untuk dibandingkan. Jadi, aku usulkan beberapa kes separa benar dalam konteks bulatan hidup aku sebagai seorang pelajar.

   Dalam situasi pertama, seorang pelajar  yang bercita-cita tinggi untuk menyemat nametag  yang tertera murabbi di dadanya. Akan tetapi, ekoran prestasi akademiknya yang kurang atau tidak menyerlah seindah bintang, menyebabkan dia menolak pemberian jawatan sewaktu hari anugerah cemerlang di sekolah.  Alasannya klise. Klise dan klise. Kerana takut dari amanah ia menjadi fitnah kepada agama. Murabbi yang hanya membentuk hati, tetapi akademiknya corot jatuh ke dalam longkang. Tin kosong.

   Situasi kedua pula, seorang pelajar  yang tiada hajat besar mahupun kecil untuk memegang even mahu menyentuh nametag tertera murabbi. Walaupun yang demikian sebegitu rupa, dia merupakan pelajar contoh di sekolah kerana pencapaian akademiknya yang lebih cerah dari segala bintang di langit. Alasannya, sangat variasi. Aku hampir tak boleh nak senaraikan secara total.

   Dan situasi terakhir, seorang pelajar yang cemerlang sahsiah dan juga akademik. Disamping itu, dia juga bercita-cita tinggi sejauh marikh mungkin untuk menjadi murabbi. Tambahan, dia layak untuk memegang tampuk pemerintahan di sekolah. As simple as ABC..


*****


   Sejujurnya, aku ada situasi aku sendiri. Masih ligat bermain aci ligan polis entri dalam ruangan minda. Aku ada pilihan latar tempat aku sendiri. Semua orang ada sebenarnya.

    Konklusinya, pilih-lah..



“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah, lalu berikanlah peringatan!”     [Al-Muddassir: 1-2]



“Sampaikanlah dari ku walaupun sepotong ayat”  
Hadis Riwayat Bukhari




P/s: Aku khususkan tulisan marhaen ini kepada golongan/kaum/kumpulan yang menghadirkan jiwa & jasad ke bulatan terlebih gumbira (usrah).

Ambil agama/tanggungjawab sebagai amanah bukan fitnah..   -Biela-